Berita

SEDC bekerjasama dengan AVL mengenai pembangunan sel bahan api hidrogen



KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sedang bekerjasama dengan AVL, sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Austria bagi menjalankan kajian kebolehlaksaan ke atas pembangunan sel bahan api hidrogen di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata kajian itu merangkumi secara menyeluruh rangka kerja ekonomi hidrogen dan teknologi sel bahan api hidrogen untuk kegunaan mudah alih dan pegun, khususnya di kawasan luar bandar.

"Dalam jangka masa panjang, ini akan menyokong keputusan strategik Kerajaan Negeri Sarawak dalam pengagihan tenaga lestari dan dengan harga yang berpatutan. 

"Masa depan yang cerah, bersih dan hijau untuk semua rakyat dan PKNS akan menyediakan sokongan yang perlu bagi memastikan kejayaannya," kata beliau pada majlis pelancaran loji pengeluaran hidrogen stesen pengisian bahan api yang pertama di negara ini oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau ketika bercakap mengenai SEDC, menjelaskan perbadanan itu telah memperolehi tiga unit bas dengan sel hidrogen melalui Foshan Feichi Automobile Manifacture Co. Ltd., China. 

Katanya, bas-bas itu akan dijadikan projek perintis untuk menunjukkan keupayaan teknologi sel bahan api hidrogen sebagai satu bentuk yang berdaya maju bagi pengangkutan awam di Sarawak dan akan memulakan operasi sebaik sahaja permit-permit yang diperlukan daripada pihak berkuasa diterima.

Untuk rekod, beliau berkata laporan akhir yang diterbitkan pada Mei 2012 di dalam "Kajian Lalu Lintas Bandar di Kuching, Sarawak (2010 – 2030)" mendedahkan bahawa pendaftaran kenderaan bermotor di negeri itu berkembang pada kadar 6 peratus setahun, iaitu tiga kali lebih banyak daripada pertumbuhan populasi bandar tersebut.

Kajian itu telah dibuat oleh AECOM dengan bantuan Perunding SL dan Swinburne University of Technology. 

"Inilah yang menjadi kebimbangan bagi kita semua kerana secara purata pada 2012, terdapat 2.24 kenderaan bagi setiap isi rumah dan menjelang 2030, jumlah kenderaan (kenderaan bermotor dan motosikal) di jalan raya akan bertambah sebanyak 830, 000 unit atau 68 peratus, lebih daripada 503,000 unit yang dimiliki pada 2012," katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]