KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih MISC Bhd (MISC) bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2019, meningkat 64.4 peratus tahun ke tahun kepada RM510.50 juta, disokong oleh kadar kargo yang bertambah baik serta keuntungan sebanyak RM41.2 juta daripada pengambilalihan perniagaan dan penjualan kapal.
Pendapatan syarikat perkapalan tenaga itu juga tinggi bagi suku tersebut sebanyak RM2.28 bilion berbanding RM2.02 bilion pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan hasil itu disumbang daripada kadar kargo yang bertambah baik yang dicatatkan bagi kapal Aframax, Very Large Crude Carrier dan Suezmax dalam segmen petroleum.
"Selain itu, pendapatan daripada kejuruteraan berat juga meningkat berikutan kadar kemajuan tinggi penyiapan projek yang sedang dibangunkan. Peningkatan jumlah kapal yang beroperasi dalam segmen gas asli cecair (LNG) juga menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi pada suku semasa," kata MISC dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kadar kargo yang lebih baik itu mendorong perniagaan petroleum untuk kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan operasi sebanyak RM134.9 juta berbanding kerugian sebanyak RM39.2 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, segmen perkapalan LNG mencatatkan kenaikan keuntungan operasi sebanyak 17.8 peratus kepada RM324.2 juta.
Mengenai unjuran tahun semasa, MISC berkata 2019 secara keseluruhannya dijangka menjadi tahun lebih baik bagi sektor tangki berbanding 2018.
Ia berikutan kebimbangan terhadap pengurangan pengeluaran minyak yang berterusan diketuai oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan penamatan pengecualian minyak Iran oleh Amerika Syarikat yang mungkin menjejaskan jumlah operasi perkapalan.
“Bagi jangka masa panjang, pertumbuhan dalam tan yang didorong oleh eksport yang lebih tinggi dari rantau Atlantik ke Asia menunjukkan unjuran lebih mantap dalam kadar carter. Dalam segmen perkapalan LNG, kadar carter turun pada suku pertama 2019 berikutan permintaan pada musim sejuk yang semakin berkurangan dan penyerahan muatan tan yang baharu, selepas kemuncak musim sejuk pada akhir tahun 2018,” kata syarikat itu.
Pada separuh kedua 2019, penghantaran kapal tangki dijangka perlahan dan kapasiti pencecairan baharu mungkin akan membantu kadar terus kekal. Dua kapal pengangkut LNG baharu akan menyertai kumpulan kapal MISC pada akhir 2018 dan awal 2019, menyediakan sumber pertumbuhan pendapatan untuk segmen itu, kata syarikat tersebut.
Penambahan ini dan portfolio sedia ada bagi carter jangka panjang akan menjamin prestasi yang stabil bagi pernigaan LNG MISC pada tahun tersebut.
Sementara itu, segmen luar pesisir terus disokong oleh kegiatan kukuh dalam penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas.
"Peluang-peluang yang semakin meningkat terdapat di kawasan eksplorasi dan pengeluaran luar pesisir global, terutamanya untuk pembangunan di Lembangan Atlantik, dan unit perniagaan luar pesisir MISC akan menilai dengan teliti manfaat peluang ini dalam tahun semasa," kata syarikat itu.
MISC telah meluluskan dividen pertama sebanyak 7.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM312.5 juta.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]