KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) Takehiko Nakao hari ini mengadakan perbincangan tentang bagaimana bank itu dapat membantu Malaysia dalam bidang seperti air, pengangkutan bandar dan tenaga diperbaharui.
Ini termasuk kemungkinan pinjaman untuk membantu Malaysia menggabungkan lebih banyak teknologi canggih, mempelbagaikan sumber pembiayaan projeknya, dan menangani hutang secara mampan, kata bank itu.
“Bantuan ADB akan memacu pertumbuhan terangkum, meningkatkan kapasiti keinstitusian, meningkatkan kecekapan kerajaan dan menggalakkan tindakan terhadap perubahan iklim,” kata ADB dalam kenyataan.
Dr Mahathir dan Nakao bersetuju betapa pentingnya untuk bank itu terus mengadakan perbincangan dengan negara berpendapatan pertengahan tinggi seperti Malaysia, berdasarkan Strategi ADB 2030 untuk membantu dalam bidang berkenaan, katanya.
Nakao, yang kali terakhir bertemu Dr Mahathir di Kuala Lumpur pada Mac 2013 sejurus sebelum memegang jawatan di ADB, mengucapkan tahniah kepada perdana menteri bagi usahanya mentransformasi pentadbiran pada tahun pertama pentadbirannya, termasuk langkah menggunakan sumber kewangan secara efisien bagi projek-projek pembangunan, memantapkan inisiatif pencegahan rasuah dan meningkatkan ekosistem perniagaan Malaysia.
Beliau memuji kedudukan makroekonomi negara yang mantap termasuk pertumbuhan kukuh, kestabilan harga, lebihan akaun semasa dan paras rizab pertukaran asing yang sihat.
Nakao turut menzahirkan sokongan terhadap dasar kerajaan menggalakkan pelbagai sektor pertumbuhan baharu dan meningkatkan kemahiran pekerja Malaysia.
“Saya menghargai usaha kerajaan untuk seimbangkan objektif pertumbuhannya dengan keperluan bagi pengurusan fiskal berhemah untuk memastikan pertumbuhan mampan dan terangkum.
“Penekanan yang lebih diberikan terhadap negeri-negeri lebih miskin akan membantu merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk dalam kumpulan 40 peratus terbawah (B40) yang selari dengan visi kerajaan," katanya.
Nakao, yang sedang dalam rangka lawatan dua hari di Malaysia, turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan gabenor ADB Lim Guan Eng, gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Malaysia menyertai ADB sebagai anggota pengasas pada 1966. Sejak itu, Malaysia telah menerima bantuan US$2 bilion daripada ADB bagi 77 projek pelaburan, kebanyakannya pada 1980-an dan 1990-an, dalam sektor seperti pertanian, pendidikan, tenaga dan pengangkutan. Pinjaman terakhir ADB kepada Malaysia diluluskan pada 1997 untuk projek pembangunan kemahiran.
ADB berkata pada tahun-tahun kebelakangan ini, pihaknya turut menyediakan bantuan teknikal kepada beberapa negeri di Malaysia untuk membantu membangunkan bandaraya hijau, tenaga diperbaharui, penyelesaian pengangkutan bersepadu dan zon ekonomi khas.
Ketika ini ia sedang membantu Malaysia meningkatkan keupayaan penjawat awam Malaysia, antara lain, untuk menguruskan pembangunan ekonomi dan pengurusan projek, katanya.
Kerjasama ADB dengan Malaysia telah turut memupuk kerjasama serantau, katanya dan menurutnya ia telah menyokong dua inisiatif kerjasama serantau, Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT–GT) dan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN -Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP–EAGA).
ADB ialah rakan kongsi pembangunan utama dan penasihat bagi kedua-dua program.
Pada April 2019, Malaysia, bersama-sama dengan negara anggota ASEAN yang lain dan rakan kongsi lain telah melancarkan Kemudahan Pemangkin Kewangan Hijau ASEAN, di bawah Dana Infrastruktur ASEAN (AIF), inisiatif kewangan serantau ditadbir ADB.
Malaysia merupakan pemegang saham terbesar AIF daripada ASEAN, dan kemudahan baharu itu akan menyokong infrastruktur hijau di Asia Tenggara dan bertujuan untuk menjana US$1.3 bilion bagi pelaburan infrastruktur hijau.
Pada 2018, ADB memberikan komitmen bagi pinjaman dan bantuan baharu berjumlah US$21.6 bilion. Ditubuhkan pada 1966, ia dimiliki 68 anggota, dengan 49 daripadanya adalah dari rantau ini.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]