Berita

TNB peruntuk RM9.5 bilion bagi perbelanjaan modal 2019



KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan RM9.5 bilion untuk perbelanjaan modal (capex) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 (FY19) berbanding RM12 bilion pada tahun kewangan berakhir pada 2018 (FY18).

Ketua Pegawai Kewangannya Nazmi Othman berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM6 bilion akan digunakan untuk bahagian grid, RM2.5 bilion bagi bahagian penjanaan elektrik manakala selebihnya untuk tenaga boleh baharu dan pengembangan meter pintar.

“Jumlah besar RM2.5 bilion itu akan diperuntukkan kepada loji jana kuasa Jimah East Power di Negeri Sembilan dan loji jana kuasa Southern Power Generation (SPG), Pasir Gudang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Nazmi berkata peruntukan capex bagi meter pintar pada tahun depan akan meningkat berikutan syarikat itu merancang mengembangkan sistem itu dengan lebih baik pada tahun depan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TNB Amir Hamzah Azizan berkata sistem meter pintar, projek perintis oleh TNB yang diperkenalkan di Melaka, akan diperkenalkan di Lembah Klang tahun ini sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Beliau berkata ketika ini syarikat itu sedang mengadakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan yang boleh menghantar dan memasang bilangan meter pintar yang diperlukan TNB.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata, susulan kejayaan projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin, Melaka tahun lepas, ahli lembaga pengarah TNB menyokong pengembangan syarikat itu terhadap pembangunan gentian optik.

“Kami akan mengembangkan perniagaan gentian optik borong di mana-mana sahaja secara komersial. 

“Kami akan menyediakan rangkaian gentian dan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan runcit kepada mereka bagi menyediakan perkhidmatan lengkap kepada isi rumah,” katanya.

Amir Hamzah menjangka perniagaan gentian optik akan menjana pendapatan pada tahun depan dan akan datang selepas menyaksikan penembusan pertama secara komersial pada tahun ini.

“Perjalanan ini mungkin mengambil masa agak panjang, namun pendapatan berulang yang akan diperolehi daripada perniagaan secara borong seperti perniagaan utiliti, yang kami laburkan untuk menyediakan infrastruktur dan menerima hasilnya selama bertahun-tahun,” katanya.

Bagi segmen tenaga boleh baharu, Amir Hamzah berkata TNB sedang membida skim tender solar skala besar (LSS3) untuk pusingan ketiga dan teruja dengan kapasiti maksimum 100 megawat.

Beliau juga percaya terdapat keseimbangan dalam campuran tenaga antara tenaga konvensional dan boleh baharu di masa depan dan Malaysia mampu merealisasikan sasaran pengeluaran 20 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2025 dengan bantuan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Mengenai kemungkinan berlakunya pelarasan tarif elektrik, Amir Hamzah berkata wujud mekanisme di Malaysia untuk menyelaras peningkatan harga gas kepada harga pasaran, di sebalik aliran menurun yang dilihat pada harga arang batu.

Di bawah mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), tarif itu akan dipengaruhi terutamanya oleh harga arang batu dan gas asli.

Harga arang batu dilihat mengalami aliran menurun, jelasnya.

“Jadi terdapat dua faktor bertentangan yang sedang bergerak dan akhirnya dalam perbincangan kami bagi kajian akan datang, ST akan mengambil kira kesemua perkara ini dan melihat hasil daripada mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya mekanisme ICPT semasa akan kekal berikutan ia merupakan mekanisme yang adil.

Di masa depan, Amir Hamzah berkata TNB akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan yang menyokong program transformasi ‘Reimagining TNB.’

“Industri elektrik di Malaysia akan melalui perubahan dari masa ke masa dan kita perlu berusaha ke arah pelan kita dan bagaimana kaedah paling sesuai untuk menyelesaikan perubahan dalam landskap ini dengan cara terbaik.

“Idea seperti pengkorporatan merupakan antara yang kami sedia lakukan sekiranya perlu,” kata beliau.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]