Berita

TNB optimis prospek pertumbuhan, tingkatkan perkhidmatan - Moggie



KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) optimis serta teruja dengan prospek pertumbuhan yang membolehkan syarikat utiliti nasional itu menawarkan perkhidmatan lebih baik, memanfaatkan pertumbuhan pasaran baharu menerusi nilai aset rangkaian serta meningkatkan nilai mampan untuk kalangan pihak berkepentingannya, kata Pengerusi Tan Sri Leo Moggie.

“Kami melihat ini sebahagian daripada komitmen dan sumbangan untuk merealisasikan cita-cita negara,” kata beliau dalam laporan tahunan kewangan bersepadu 2018 (FY2018) TNB yang turut memperincikan perkembangan syarikat utiliti itu sejak 70 tahun lepas.

Menurut Moggie, bersandarkan pelbagai usaha strategik di bawah pelan induk ‘Reimagining TNB’ (2017-2025), syarikat itu terbukti terus mencatat pertumbuhan hasil tahunan serta keuntungan yang baik, dipacu oleh persekitaran kawal selia yang kondusif.

Perolehan kumpulan TNB meningkat 6.3 peratus daripada FY2017 kepada RM50.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 dengan sebahagian besar daripadanya dipacu oleh peningkatan bekalan elektrik yang mencecah 18,338MW pada Ogos 2018 iaitu meningkat 3.1 peratus berbanding FY2017.

Keuntungan bersih bagi FY2018 juga rendah kepada RM3.75 bilion berbanding RM6.91 bilion pada FY2017, kebanyakannya disebabkan oleh pelarasan pengawalseliaan akibat perubahan dalam Tempoh Pengawalseliaan Kedua (RP2) 2018-2020, susut nilai dan kesan tukaran asing.

Permintaan tenaga turut meneruskan momentum positifnya pada FY2018 dengan jualan tenaga elektrik tahunan meningkat 1.4 mata peratus berbanding unjuran awal menerusi RP2 rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Moggie berkata ekosistem mapan oleh rangka kerja IBR dan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga sejak empat tahun lepas, telah membolehkan Malaysia memiliki salah satu rangkaian tenaga mantap di rantau ini serta setanding dengan negara-negara maju lain.

Selain itu, menerusi pelaksanaan pendekatan proaktif dan berwawasan, beliau berkata TNB telah menjalankan kerja-kerja persiapan bagi menghadapi Tempoh Pengawalseliaan Ketiga (RP3) (2021-2023) dan dijangka menyerahkan cadangan IBR RP3nya menjelang Disember tahun ini.

Dalam persekitaran perubahan teknologi berterusan yang turut memberi kesan terhadap industri, Moggie berkata TNB yang mencatatkan aspek ketersediaan sistem sebanyak 99.97 peratus pada 2018, juga percaya mengenai kepentingan kalangan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) menyediakan peralihan asas yang akan turut memberi impak terhadap industri itu di peringkat global.

Sambil menyifatkan bahawa usaha pembaharuan kerajaan menerusi MESI 2.0 sebagai bertepatan dan langkah penting bagi membolehkan industri melangkaui aliran global, beliau berkata wujud keperluan untuk melindungi struktur serta kawal selia industri Malaysia di masa depan selain memperkasakan pengguna bagi membuat pilihan tepat dan bijak.

Menyedari pembaharuan pasaran sedemikian, beliau berkata, TNB telah melancarkan pelan strategik di bawah inisiatif ‘Reimagining TNB’ itu dengan meletakkan asas kukuh dan mentransformasi proses dalaman dan strukturnya bagi membolehkan syarikat utiliti itu lebih berteknologi tinggi serta mengoptimumkan kos, berbanding empat tahun lepas.

Untuk rekod, TNB telah membina 500kV Grid ‘Superhighway’ bernilai RM2 bilion sejak 2015.

Grid yang dijangka siap tahun depan akan akan membolehkan penghantaran tenaga yang mencukupi serta selamat dari kawasan lain ke Kawasan Tengah TNB di Semenanjung Malaysia, yang mewakili kira-kira 45 peratus permintaan tenaga di seluruh Semenanjung.

Rangkaian grid itu akan berperanan sebagai nadi rantaian bekalan tenaga TNB menerusi penghantaran pukal dari stesen jana kuasa ke rangkaian penghantaran rumah, pejabat dan ruang komersial dan pada masa sama memberi bekalan terus kepada industri bagi tujuan pembuatan.

Dari segi pembayaran dividen, Moggie berkata  TNB kekal komited untuk menghasilkan nilai jangka panjang bagi para pemegang sahamnya dengan memberi dividen optimum secara konsisten bagi setiap tahun kewangan.

Bagi FY2018, TNB telah meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak 30.3 sen bagi sesaham biasa dan membabitkan pembayaran dividen sebanyak RM1.72 bilion (dibayar pada Oktober 2018) dan dividen satu peringkat akhir 23.0 sen sesaham biasa dengan jumlah bayaran dividen sebanyak RM1.31 bilion.

Susulan itu, jumlah dividen TNB pada FY2018 berjumlah 53.3 sen sesaham biasa dengan jumlah nilainya sebanyak RM3.03 ​​bilion.

Pembayaran dividen itu adalah bersamaan dengan 55.8 peratus keuntungan kumpulan diselaraskan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) (tidak termasuk aspek item luar biasa dan tidak berulangan) bagi FY2018 yang merupakan sejajar dengan semakan dasar dividen TNB antara 30 peratus dan 60 peratus daripada PATAMI kumpulan.

Moggie berkata TNB yang berhasrat muncul sebagai antara 10 Syarikat Utiliti Terkemuka Global  menerusi modal pasaran pada 2025, juga yakin dengan keupayaan tenaga kerjanya yang berkemahiran tinggi beserta pelaksanaan langkah-langkah di bawah strategi ‘Reimagining TNB,’ akan dapat menempatkan kumpulan itu pada kedudukan tepat bagi merebut peluang-peluang baharu di masa depan.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]