Berita

Pesuruhjaya Tinggi anggap pelaburan Malaysia satu rahmat kepada Kanada

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Kanada menghargai pelaburan dari Malaysia, terutamanya dalam membantu membangunkan industri minyak dan gas negara Amerika Utara itu.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Julia G. Bentley berkata sektor tenaga merupakan bidang ekonomi yang terpenting di Kanada dan pelaburan terkini yang dibuat oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas), mencerminkan keyakinan syarikat Malaysia terhadap Kanada. 

“Malaysia merupakan pelabur terpenting di Kanada. Kami amat gembira bahawa pada Oktober tahun lepas, Petronas mengumumkan keputusannya untuk melabur dalam projek terminal LNG Kanada di Kitimat, British Columbia," katanya. 

Petronas telah melabur sebanyak CAD10 bilion (RM30.8 bilion) bagi memiliki sejumlah 25 peratus kepentingan dalam projek LNG Kanada yang bernilai CAD40 bilion itu, ia merupakan pelaburan swasta yang terbesar dalam sejarah negara itu.

"Ia bermatlamat besar. Projek tersebut telah melalui rundingan yang sangat terperinci membabitkan pelbagai rakan kongsi pelabur dan kerajaan Kanada, khususnya mengenai keberhasilan apa yang boleh dijangkakan daripada pelaburan berkenaan," katanya. 

Beliau ditemui Bernama International News Service selepas menyampaikan ceramah pada Dialog Global Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini baru-baru ini.

Bentley yakin keputusan itu akan membantu Petronas untuk menjadi salah satu daripada pengeksport utama gas asli di Amerika Utara. 

Malaysia adalah rakan dagang keempat terbesar Kanada dalam ASEAN dengan nilai perdagangan dua halanya pada 2018 merekodkan angka CAD3.76 bilion (RM11.6 bilion), meningkat daripada CAD3.5 bilion (RM10.8 bilion) pada 2017. 

Berdasarkan statistik rasmi Suruhanjaya Tinggi, eksport Kanada ke Malaysia pada 2018 adalah sebanyak CAD782.7 juta (RM2.41 bilion), naik berbanding CAD718.7 juta (RM2.16 bilion) pada 2017. Produk Kanada yang dieksport ke Malaysia merangkumi baja, minyak bijian, bijirin, jentera elektrik dan elektronik. 

Sementara itu, eksport Malaysia ke Kanada pada 2018 juga bertambah kepada CAD2.98 bilion (RM9.19 bilion) daripada CAD2.78 bilion (RM8.56 bilion) pada tahun sebelumnya.

Malaysia pula mengeksport barangan elektrik dan elektronik, jentera serta peralatan, instrumen saintifik dan teknikal, getah, lemak dan minyak. 

Sementara itu, perdagangan dua hala Malaysia dan Kanada dalam sektor perkhidmatan merekodkan sejumlah CAD808 juta (RM2.49 bilion) pada 2017. Dalam segmen ini, eksport Kanada ke Malaysia mencecah CAD471 juta (RM1.45 bilion), manakala import dari Malaysia adalah sebanyak CAD337 juta (RM1.04 bilion).

Sekarang ini terdapat 34 syarikat Kanada yang beroperasi di Malaysia. Ini termasuk Bombardier, Celestica, CAE, SNC-Lavalin, Manulife, ATS Automation, Teknion dan Solmax. 

Sebelum itu dalam kuliah beliau bertajuk "Perkongsian Kanada-Malaysia", Bentley berkata Kanada berminat untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia melalui kerjasama rapat dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, pendidikan serta pemerkasaan sosial. 

Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia juga menyokong usaha Malaysia untuk mempertingkatkan peraturan perundangan dan tadbir urus yang baik termasuk hak asasi manusia serta pemerkasaan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Setakat ini, pada tahun lepas, suruhanjaya tinggi itu telah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan komuniti awam menerusi program-program sosial yang memberi tumpuan bagi memperkasakan wanita dan perempuan melalui pendidikan, pengajaran golongan muda tentang kesihatan seksual dan reproduktif, menyokong hak bagi mangsa kanak-kanak dan keganasan yang berkaitan jantina. 

Bentley berkata Ottawa dan Kuala Lumpur juga mempunyai perkongsian yang mantap dalam hal-hal keselamatan. 

"Salah satu contoh cemerlang adalah program pasukan khas selama lima tahun bagi mengukuhkan keupayaan operasi Malaysia dalam menghadapi ancaman bahan kimia, biologi, radiologi dan nuklear," katanya, sambil menambah bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia yang mendapat keutamaan kerjasama daripada pasukan khas Kanada dalam program ini.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]