Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Kanada menyambut baik pelaburan Malaysia, khususnya dalam membantu membangunkan industri minyak dan gas di negara itu.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Julia G. Bentley berkata tenaga merupakan sektor ekonomi penting di negaranya dan pelaburan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) baru-baru ini, mencerminkan keyakinan syarikat Malaysia terhadap Kanada.
"Malaysia negara pelabur yang penting kepada Kanada. Kami gembira pada Oktober tahun lalu, Petronas mengumumkan keputusannya untuk melabur dalam projek terminal LNG Kanada di Kitimat, British Columbia," katanya.
Beliau berkata Petronas melabur CAD10 bilion (RM30.8 bilion), memiliki 25 peratus pegangan bernilai CAD40 bilion dalam projek LNG Kanada, menjadikannya pelaburan swasta tunggal terbesar dalam sejarah Kanada.
"Ia sangat penting dan memerlukan rundingan yang sangat teliti antara pihak terbabit untuk memastikan pelaburan membuahkan hasil," katanya.
Beliau ditemui Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama selepas menyampaikan syarahan di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, baru-baru ini.
Bentley juga yakin dengan keputusan untuk meletakkan semula Petronas sebagai satu daripada pengeksport gas asli di Amerika Utara.
Malaysia adalah rakan dagangan keempat terbesar Kanada di ASEAN dengan nilai perdagangan barangan dua hala pada 2018 menokok sebanyak CAD3.76 bilion (RM11.6 bilion) daripada CAD3.5 bilion (RM10.8 bilion) pada 2017.
Menurut statistik rasmi dari Suruhanjaya Tinggi, eksport Kanada ke Malaysia pada 2018 bernilai CAD782.7 juta (RM2.41 bilion), meningkat daripada CAD718.7 juta (RM2.16 bilion) pada 2017.
Eksport Kanada ke Malaysia termasuk baja, biji minyak, bijirin serta jentera elektronik dan elektrik.
Sementara itu, eksport Malaysia ke Kanada pada 2018 melonjak kepada CAD2.98 bilion (RM9.19 bilion) berbanding tahun sebelumnya bernilai CAD2.78 bilion (RM8.56 bilion).
Import utama Kanada dari Malaysia termasuk jentera elektronik dan elektrik serta peralatan, jentera, instrumen saintifik dan teknikal, getah, lemak dan minyak.
Sementara itu, perdagangan dua hala dalam sektor perkhidmatan pada 2017, Malaysia dan Kanada mencatatkan sejumlah RM808 juta (RM2.49 bilion). Eksport Kanada ke Malaysia bernilai CAD471 juta (RM1.45 bilion), manakala import dari Malaysia berjumlah CAD337 juta (RM1.04 bilion).
Ketika ini terdapat 34 syarikat Kanada beroperasi di Malaysia termasuk Bombardier, Celestica, CAE, SNC-Lavalin, Manulife, ATS Automation, Teknion dan Solmax.
Terdahulu, dalam syarahannya bertajuk "Perkongsian Kanada-Malaysia", Bentley berkata Kanada berminat untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia, melalui kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, pendidikan dan pemerkasaan sosial.
Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia juga menyokong usaha Malaysia memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, menambah baik hak asasi manusia di samping memperkasakan golongan wanita, remaja dan kanak-kanak.
Setakat ini, pada tahun lepas katanya, suruhanjaya tinggi telah bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil mengenai program sosial, menumpukan kepada memperkasakan wanita, remaja dan kanak-kanak melalui pendidikan, memperjuangkan hak terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa dan keganasan bias gender.
Bentley berkata Ottawa dan Kuala Lumpur juga telah menjalin perkongsian kukuh dalam aspek keselamatan.
"Satu contoh yang luar biasa adalah program pasukan khas lima tahun untuk memperkuat keupayaan operasi Malaysia menangani ancaman kimia, biologi, radiologi dan nuklear," tambahnya.
Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia yang pasukan tentera khas Kanada berkolaborasi dalam program berkenaan.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]