Berita

ECRL dijangka sumbang 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi



KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion dijangka menyumbang sebanyak 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, demikian menurut MIDF Research.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, MIDF Research berkata, rangsangan pertumbuhan itu dijangka diterima seawal projek itu dimulakan sehinggalah ia selesai.

“Bagaimanapun, unjuran penuh sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergantung kepada kadar kesan limpahan ke atas sektor ekonomi lain. Selain itu, pembayaran pampasan terhadap pekerja dan lebihan operasi bersih juga dijangka meningkat masing-masing sebanyak 3.6 dan 2.1 peratus.

“Memandangkan projek itu memerlukan kelengkapan jentera dan pengangkutan, unjuran kami menunjukkan import komoditi dan penggunaan modal tetap akan meningkat masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.

Mengulas selanjutnya, MIDF Research berkata bagi kemajuan masa depan, projek rel itu akan memberi kesan dari segi pengembangan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam tempoh jangka panjang.

Ini termasuk pembentukan peluang pekerjaan, membuka kawasan baharu, pelaburan langsung asing, meningkatkan aktiviti dagangan luaran serta memperkukuh permintaan domestik.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan projek tersebut akan menjadi pemangkin industri dan pengeksport di Malaysia berikutan 70 peratus pengangkutannya adalah bagi tujuan penghantaran.

“Ini turut memberi kelebihan kepada Malaysia yang merangkumi perdagangan antarabangsa berikutan lokasi strategik projek itu untuk ke China serta negara-negara ASEAN lainnya.

“Malah, peningkatan aspek pengangkutan dan kesalinghubungan itu akan turut membantu Malaysia dari segi peruntukan sumber yang lebih baik, meningkatkan produktiviti, mobiliti serta pembangunan sosioekonomi dengan sebahagian daripadanya dapat memudahkan inisiatif Jajaran dan Laluan China."

Menurut MIDF Research, projek ECRL itu juga akan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi sektor lain, sekali gus membolehkan peralihan kepada ekonomi yang kurang bergantung kepada kerajaan.

Ia juga sejajar dengan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan saiz sektor awam pada masa akan datang menerusi usaha perindustrian.

“Ini akan mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerajaan, khususnya ke atas emolumen yang merupakan bahagian terbesar daripada jumlah perbelanjaan iaitu kira-kira 30 peratus," katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]