Oleh Shaidathul Suhana Ros
MELAKA, 4 Mei (Bernama) -- Penyertaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam perniagaan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) akan menjadi pembawa perubahan dalam industri telekomunikasi negara, kata Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri Kerk Chee Yee.
Beliau berkata penglibatan TNB dalam pasaran jalur lebar juga mampu mencatatkan pertumbuhan perolehan yang berpotensi kepada syarikat utiliti elektrik terbesar di Malaysia itu.
“Keputusan TNB untuk memasuki pasaran talian tetap atau HSBB mampu menjadi pembawa perubahan yang besar bukan sahaja kepada industri telekomunikasi, bahkan kepada negara.
“Sudah tentu kelajuan dan harga langganan yang lebih rendah akan menjadi tarikan utama kepada pelanggan jalur lebar terutamanya di kawasan yang belum diterokai dan belum dihubungkan dengan rangkaian gentian sedia ada,” katanya kepada Bernama.
Katanya dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) dan ekonomi digital, negara perlu menyediakan lebih banyak prasarana gentian dan jalur lebar berkelajuan tinggi termasuk di kawasan luar bandar.
“Apa sahaja projek yang bakal dilaksanakan, kita lihat ia boleh memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya di luar bandar.
“Kita percaya keputusan TNB itu merupakan kaedah baharu yang akan mengubah ekosistem industri telekomunikasi dan menjadikan pasaran ini lebih mampan,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kementeriannya berharap dapat berbincang dengan TNB untuk membolehkannya menyertai dalam merealisasikan matlamat Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta mencapai kesalinghubungan di seluruh negara secepat mungkin.
Pada 29 April, media melaporkan, TNB bersedia menjalin urus niaga bersama yang menyediakan infrastruktur gentian optik dengan HSBB, susulan kejayaan projek perintis NFCP di Jasin.
Projek perintis NFCP oleh TNB telah membolehkan 1,100 rumah di Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor di Jasin melanggan mana-mana pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan oleh lapan penyedia perkhidmatan runcit.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]