Berita

Komited pastikan prasyarat subsidi petrol kemas, teratur



MARAN, 2 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited untuk memastikan semua prasyarat berhubung pelaksanaan subsidi petrol bersasar berjalan secara kemas dan teratur. 

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu menjadi fokus utama kementerian bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan menepati objektif membantu meringankan kos sara hidup rakyat. 

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata mereka masih menanti data penerima yang menjadi asas kepada penyaluran bantuan itu, yang menurut beliau merupakan komponen akhir sebelum pelaksanaannya bermula. 

"Satu-satunya perkara yang belum dimuktamadkan ialah data penerima kerana kita mahu memastikan kumpulan penerima. Program subsidi ini sudah bagus, tapi jika datanya tersasar, pelaksanaan program ini tidak sempurna. 

"Kita tidak mahu mereka yang patut (menerimanya) tersasar atau mereka yang tidak patut menerima bantuan, ada (namanya dalam senarai)," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Stesen Minyak Mini Smart dan pelancaran Kad Mesra Smart Petronas di Felda Siantan, Jengka 19 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Smart Stream Resources Sdn Bhd (Smart Stream) Mohd Khairuddin Saimon dan Pengerusi Koperasi Guru Melayu Pahang Selatan (Sagumpas) Mohd Hanifah B.K Koya Moideen Kutty. 

Stesen minyak itu merupakan usahasama antara Sagumpas dan Koperasi Felda Jengka 19. 

Saifuddin Nasution berkata perkembangan berkaitan pelaksanaan subsidi itu juga dimaklumkan secara berkala kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selain akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum pengumuman akhir dibuat. 

Pada perkembangan lain, beliau berharap syarikat yang diberikan kebenaran untuk membuka stesen minyak di kawasan pendalaman membanyakkan lagi kemudahan itu, yang bukan hanya memberi kemudahan tetapi juga membantu aspek keselamatan. 

"Pembinaan stesen minyak seperti ini dapat membendung penjualan minyak tidak mengikut spesifikasi yang mendatangkan bahaya kepada keselamatan pengguna... ini merupakan sumbangan terbesar stesen minyak seperti ini. 

"Model baharu stesen minyak mini Smart juga boleh menaikkan imej dan mengubah pandangan fizikal stesen minyak luar bandar yang sebelum ini sinonim dengan imej tidak bermaya dan tidak berdaya maju," katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata pembukaan stesen minyak di Jengka 19 itu menjadikan jumlah stesen minyak yang dibangunkan Smart Stream kini 75 buah, sejak syarikat milik penuh Bumiputera itu ditubuhkan pada 29 Julai 2003. 

Beliau berkata pihaknya yang kini menjadikan Petronas sebagai rakan perniagaan strategik, menyasarkan pembukaan lapan lagi stesen minyak mini Smart sebelum akhir tahun ini. 

"Untuk tahun ini, Smart Stream memperkenalkan imej dan reka bentuk baharu yang lebih menarik, moden dan setanding dengan syarikat minyak utama yang memperlihatkan sebahagian stesen dinaiktaraf dengan dilengkapi kedai serbaneka, mesin pengeluaran wang automatik dan kemudahan ejen bank yang membolehkan pengguna membayar bil," katanya.

-- BERNAMA 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]