Oleh Yong Soo Heong
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Sesetengah pihak menjangkakan Suruhanjaya Tenaga (ST) akan membuat perubahan kos bahan api dan penjanaaan bagi tarif elektrik dengan menurunkan kadar tersebut agar sepadan dengan harga gas dan arang batu antarabangsa susulan tempoh enam bulan sudah hampir berakhir pada 30 Jun ini.
Memandangkan dua pertiga daripada bil elektrik pengguna adalah kos bahan api dan penjanaan, harga gas dan arang batu antarabangsa yang lebih rendah baru-baru ini mungkin menimbulkan jangkaan sedemikian.
Arang batu dan gas merupakan dua bahan api utama dalam penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia dengan kira-kira 41 peratus loji kuasa dijanakan oleh arang batu manakala lebih 47 peratus menggunakan gas asli.
Situasi ini menyebabkan Malaysia mudah terdedah kepada harga bahan api global.
Kebelakangan ini, harga kargo arang batu semasa bagi eksport dari terminal Newcastle, Australia susut lebih 25 peratus daripada US$118 satu tan pada Julai 2018 kepada kira-kira US$88 satu tan.
Harga semasa gas asli cecair (LNG) Asia bagi penghantaran pada Mei dilaporkan merosot lebih 60 peratus daripada US$11.81 per MMBtu pada September 2018 kepada sekitar US$4.65 per MMBtu minggu ini.
Jadi, adakah penurunan harga arang batu dan gas sejak beberapa minggu lepas itu akan mendorong kepada pemberian rebat?
Penekanan penting di sini adalah struktur tarif tidak pernah berubah sejak 2014.
Berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) semasa, ST membuat perubahan kos bahan api dan penjanaan bagi tarif elektrik, sama ada sebagai rebat atau surcaj, dalam semakan semula yang dilakukan setiap enam bulan namun ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
ICPT semasa adalah bagi tempoh antara 1 Jan dan 30 Jun, 2019 manakala yang seterusnya mulai 1 Julai hingga 31 Dis, 2019.
Mekanisme berdasarkan rangka kerja Pengawalseliaan Berasaskan Insentif (IBR) itu diperkenalkan pada 2014. Sejajar dengan piawaian global, ICPT menggalakkan penetapan tarif yang saksama dan telus.
Tarif ditentukan oleh ST apabila ia menilai struktur harga dan kos pada setiap enam bulan dengan sela masa enam bulan pelaksanaan.
Sekiranya kos sebenar keseluruhan bagi bahan api sepanjang tempoh enam bulan sebelum itu adalah lebih tinggi daripada jangkaan kos pengeluaran elektrik, maka surcaj akan dikenakan ke atas pengguna bagi tempoh enam bulan berikutnya.
Bagaimanapun jika kos sebenar bahan api adalah lebih rendah, pengguna akan menikmati pengurangan atau rebat bagi tempoh enam bulan seterusnya.
Tarif asas purata semasa, seperti yang diputuskan tahun lepas adalah 39.45 sen per kWh. Lazimnya kadar itu disemak semula sekali dalam tempoh setiap tiga tahun dengan ST telah menetapkan paras tarif asas bagi 2018, 2019 dan 2020.
Pada setiap enam bulan pula, ST akan meneliti struktur harga antarabangsa dan membandingkannya dengan harga bahan api asas bagi penjanaan elektrik, untuk menentukan sama ada perlunya surcaj atau rebat ICPT, menurut sumber industri.
“Ini membolehkan kaedah penetapan tarif secara berstruktur, telus dan bermaklumat memberi perhatian kepada keperluan ketara perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi syarikat utiliti tenaga, termasuk TNB,” katanya.
Bagaimanapun, aspek penting juga perlu diambil kira daripada senario berkenaan, iaitu walaupun harga arang batu dan gas telah susut, namun parasnya masih mengatasi harga bahan api yang dijangkakan, yang digunakan dalam menentukan tarif asas 39.45 sen per kWh.
Ini kerana jangkaan bagi harga purata arang baru di pasaran antarabangsa adalah US$75 satu tan dan gas berpaip pada RM27.20 per MMBtu dari 2018 hingga 2020.
Oleh yang demikian, ini mungkin menyukarkan ST untuk mengurangkan tarif buat masa ini kecuali harga arang batu dan gas lebih rendah berbanding harga asas yang dijangkakan.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]