Berita

TNB bersedia teroka perniagaan prasarana gentian optik

Tan Sri Leo Moggie

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia untuk menceburi perniagaan kesalinghubungan yang menyediakan prasarana gentian optik bagi jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB), susulan kejayaan projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin, Melaka.

Pengerusinya Tan Sri Leo Moggie berkata TNB melihat potensi perniagaan kesalinghubungan dan menimbang dengan berhati-hati untuk meneroka bidang itu.

“Kami agak bersedia menyertainya dengan cara berhemat di kawasan tertentu bagi inisiatif kesalinghubungan ini untuk kelajuan jalur lebar. 

“Hasil di Jasin menunjukkan selagi kami tidak membenarkan akses pihak ketiga melepasi tahap tertentu prasarana grid kami, kami berasa terjamin bahawa keselamatan adalah dijamin” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual. 

Moggie berkata berdasarkan kepada ujian perintis itu, sokongan daripada kerajaan akan diperlukan sekiranya syarikat itu mahu memperkenalkan prasarana gentian optik di kawasan luar bandar berikutan pelaburan besar yang diperlukan. 

“Jika kita mahu pergi ke kawasan yang sama dengan (Jasin), kita perlu berbincang dengan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu melihat ke kawasan bandar yang kurang akses Internet kelajuan tinggi di mana TNB boleh memainkan peranan tanpa membebankan kerajaan. 

Selain itu, katanya, sebagai syarikat senaraian awam, TNB perlu menimbang pulangan daripada pelaburannya dalam perniagaan kesalinghubungan. 

“Jika kita menyertainya, ia sepatutnya membawa kewajaran perniagaan kepada TNB,” katanya.

Memandangkan perniagaan itu memerlukan kepakaran yang sedikit berbeza daripada perniagaan terasnya menyediakan elektrik, beliau berkata, syarikat itu juga perlu menimbang keupayaan sumber manusia untuk menguruskannya. 

Projek rintis NFCP itu membolehkan tiga kawasan kediaman yang terdiri daripada 1,100 isi rumah menikmati kelajuan Internet yang mencecah 1Gbps pada harga mampu milik menerusi pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan oleh lapan penyedia perkhidmatan sedia ada.

Mengenai perkembangan lain, Moggie berkata, TNB menukarkan ibu pejabatnya di Bangsar menjadi ibu pejabat ala kampus yang dilengkapi dengan pusat Islam, pusat konvensional, pejabat masyarakat dan pusat interaktif. 

Beliau berkata ibu pejabat baharu itu akan mempunyai persekitaran ala kampus termasuk taman bagi kakitangannya. 

“Konsep itu adalah untuk mencerminkan apa yang diharapkan oleh generasi lebih muda pada masa hadapan,” katanya. 

Ibu pejabat baharu itu akan menjadi sebuah bangunan diperakui indeks bangunan hijau (GBI) dengan penilaian Platinum GBI, yang dilengkapi dengan bumbung panel solar, sistem kutipan sisa buangan automatik, dinding berkaca, bumbung hijau dan sistem penuaian air hujan, antara lainnya.  

Ibu pejabat itu dijangka siap pada 19 Mei, 2021, dan pusat Islam pada 31 Mei tahun ini.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]