IPOH, 29 April (Bernama) -- Syarikat perlombongan timah tertua negara, Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT) di Klian Intan, Pengkalan Hulu, kira-kira 170 kilometer dari sini sentiasa mengutamakan pengurusan serta kelestarian alam sekitar dalam operasi hariannya.
Pengurus Besar Kanan RHT Madzlan Zam berkata syarikat yang berusia lebih 100 tahun itu memperuntukkan sejumlah dana mencecah jutaan ringgit setahun bagi menjaga alam sekitar terutama dalam mengelak pencemaran arsenik di sungai berhampiran termasuk Sungai Rui.
Katanya RHT tidak melepaskan keluar air yang digunakan di kawasan perlombongan itu terus ke sungai, sebaliknya air tersebut disimpan di dalam kolam-kolam yang ada sebelum dirawat menggunakan batu kapur dan dikitar semula.
"Air kita kumpul dalam kolam guna 'close circuit water recycle' kita rawat sehingga mencapai tahap pH 8 agar air itu beralkali dan arsenik yang ada mendap seterusnya membentuk sebatian stabil.
"Bacaan sampel air dalam kolam dan yang mengalir luar kolam diambil, dianalisis setiap hari serta dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk pemantauan.
"Tapi sekiranya ada air yang mengalir di luar kolam RHT ke sungai ia berasid tidak dapat dielak kerana secara geologinya kawasan ini merupakan kawasan pemineralan dan dalam 'tin belt' pasti ada kandungan arsenik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Madzlan mengulas isu pencemaran arsenik dalam Sungai Rui sehingga menyebabkan operasi Loji Rawatan Air, Ayer Ganda diarah tutup sejak 9 April lepas yang menjejaskan kira-kira 1,500 penduduk.
Menjelas lanjut, Madzlan berkata setiap hari sebanyak 10 beg batu kapur dengan anggaran satu tan setiap satu bernilai kira-kira RM4,000 keseluruhan digunakan untuk merawat air dalam kolam takungan.
"Tahun lepas untuk alam sekitar RHT peruntukkan RM5.2 juta, ini komitmen syarikat kepada kelestarian alam," katanya.
Selain itu, katanya RHT turut memikirkan kesan jangka panjang jika lombong tidak lagi beroperasi iaitu dengan menanam pokok-pokok bernilai tinggi seperti meranti dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sejak lapan tahun lepas.
Katanya keluasan lombong RHT adalah 701 hektar dan 32 hektar telah ditanam dengan pokok bernilai tinggi yang diharapkan akan memberi manfaat kepada orang ramai jika tiada lagi aktiviti perlombongan di Klian Intan pada masa akan datang.
"Contohnya kalau telah habis melombong, kolam-kolam tadi kita tutup dengan lapisan batu kapur dan pasir...boleh tanam pokok-pokok yang nanti beri keuntungan kepada kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]