Berita

Petronas tawar perkhidmatan GUCD di Terminal LNG Pengerang



KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd (PLL), kini menawarkan perkhidmatan ‘Gassing Up and Cooling Down’ (GUCD) komersial di Terminal Regasifikasi Pengerang (RGTP) gas asli cecair (LNG), melalui kerjasama dengan Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2).

Terminal itu dimiliki oleh PLNG2, merupakan usaha sama dalam kalangan Petronas Gas Bhd, Dialog LNG Sdn Bhd dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd.

Menurut Petronas dalam kenyataan hari ini, penyelesaian GUCD untuk kapal Petronas Puteri Zamrud Satu baru-baru ini, merupakan pencapaian penting bagi GUCD di RGTP.

GUCD dibuat selepas Puteri Zamrud Satu berlepas dari dok kering Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif PLL Ezhar Yazid Jaafar berkata perkhidmatan GUCD di RGTP mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai rakan penyelesaian LNG yang progresif, menawarkan penyelesaian yang pelbagai dan fleksibel untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang berkembang.

Operasi GUCD ini menandakan yang pertama daripada banyak potensi kegunaan perkhidmatan GUCD di RGTP oleh pengendali dan pemilik kapal LNG yang lain disebabkan lokasinya yang strategik di Selat Johor.

GUCD adalah perkhidmatan khusus untuk membawa tangki simpanan oleh kapal LNG, selepas dok kering, kepada persekitaran biasa dan kemudian menyejukkannya sehingga suhu kriogenik (-160 darjah Celsius) sebelum memuatkan ke kargo seterusnya.

Proses ini diperlukan untuk kapal-kapal LNG, biasanya selepas dok kering, sebelum memuatkan kargo LNG seterusnya.

PLL turut menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Marin dengan Johor Port Bhd (JPB) untuk penyediaan perkhidmatan marin, termasuk menawarkan tarif yang menarik kepada kapal LNG yang menggunakan perkhidmatan GUCD daripada PLL di RGTP.

Inisiatif kerjasama dengan JPB dan Johor Port Authority akan menggalakkan lebih ramai pemilik dan pengendali kapal menggunakan perkhidmatan di RGTP berikutan berdekatan dengan limbungan kapal di Malaysia dan Singapura.

RGTP merupakan terminal regasifikasi LNG kedua Malaysia selepas Terminal Regasifikasi Sungai Udang, dibina untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan penapisan dan petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang.

RGTP mempunyai dua tangki simpanan LNG dengan jumlah kapasiti sebanyak 400,000 meter padu.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]