PETALING JAYA, 23 April (Bernama) -- Barakah Offshore Petroleum Bhd menyasarkan untuk mencatat permulaan baharu dalam usaha memperkukuh kedudukannya selepas langkah penyusunan semula syarikat itu selesai menjelang akhir tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Abdul Rahim Awang berkata syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas (O&G) itu kini di peringkat lanjut proses penyusunan semula dan langkah itu turut mendapat reaksi positif dalam perbincangan dengan pihak pemiutang utama.
"Kami berjaya mendapatkan pihak penyelamat. (Pada masa ini) kami terikat dengan perjanjian kerahsiaan dan tidak boleh mendedahkan siapa pihak penyelamat berkenaan. Inilah perkara pertama yang kami perlukan kerana amat mengharapkan suntikan modal baharu dan pihak penyelamat itu sememangnya amat penting," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan firma berpejabat di Singapura, Vallianz Holdings Ltd di sini, hari ini.
Setakat 31 Dis, 2018, jumlah liabiliti Barakah Offshore mencecah RM335.6 juta.
Abdul Rahim juga menjangkakan syarikat itu akan memuktamadkan skim penyusunan semula itu menjelang bulan depan dan berupaya menyelesaikan isu dengan pihak pemiutangnya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
"Kami memerlukan sekurang-kurangnya 75 peratus pemiutang untuk menyokong serta meluluskan skim itu bagi kemajuan masa depan. Malah, kami yakin dapat mencapai angka 75 peratus itu," katanya.
Beliau berkata apabila skim penyusunan semula itu selesai kelak, aliran tunai Barakah akan menjadi positif di peringkat projek serta dari segi keuntungannya.
Sementara itu, syarikat tersebut dan Vallianz akan membentuk satu pakatan strategik untukmeninjau peluang perniagaan di Malaysia dan Timur Tengah.
Usaha bersama itu akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk mengembangkan skop perkhidmatan, keupayaan teknikal serta jangkauan geografi di sepanjang rantaian nilai O&G.
Menerusi MoU itu, Barakah Offshore akan menawarkan keupayaan kejuruteraan dan operasinya yang mantap untuk menyokong projek-projek Vallianz yang sedia ada dan akan datang termasuk perundingan teknikal dan kajian kebolehlaksanaan.
"MoU dengan Vallianz ini akan membuka pasaran baharu untuk kami selain memberi akses kepada aset yang mereka miliki.
"Aset-aset tersebut akan membolehkan kami membuat bidaan secara lebih kompetitif berikutan kebanyakan bidaan projek luar pesisir itu dibuat secara pakej yang merangkumi kemudahan termasuk kapal," katanya.
Setakat ini, Abdul Rahim berkata Barakah Offshore telah mengenal pasti satu projek di Timur Tengah yang akan disusuli dengan cadangan bersesuaian.
"Bagaimanapun, sama ada kami menandatangani usaha sama atau perjanjian muktamad itu akan bergantung kepada seberapa pantas kami dapat mengemukakan cadangan serta tempoh yang bidaan kepada pelanggan itu," katanya.
Pada masa ini, Barakah Offshore berperanan sebagai kontraktor penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian untuk lima kontraktor pengeluaran bersama.
Kontrak yang diperoleh pada 2018 dan 2019 itu adalah bagi tempoh lima tahun sehingga 2023 juga dijangka memberi sumbangan positif terhadap prestasi kewangan syarikat dalam tempoh tersebut.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak.
Abdul Rahim juga menyifatkan MoU itu sebagai permulaan operasi syarikat itu di Timur Tengah.
"Sebelum ini, kami telah menubuhkan sebuah pejabat di Arab Saudi namun tidak berjaya mendapat sebarang projek kerana tidak mempunyai rakan kongsi yang mantap," katanya.
Dalam pada itu, nilai perolehan kontrak dan tender Barakah Offshore kini masing-masing melebihi RM600 juta.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]