Berita

Malaysia sedia wujudkan rangkaian perniagaan dengan Bosnia dan Herzegovina



KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengulangi kesediaan Malaysia untuk mewujudkan rangkaian perniagaan dan hubungan dengan Bosnia dan Herzegovina dalam lawatan kerja rasminya pada 19-21 April.

Dalam kenyataan, katanya hubungan itu dalam projek infrastruktur, tenaga boleh baharu (kuasa hidro) dan pelancongan pada masa akan datang, serta meningkatkan kerjasama dalam industri halal.

Dalam lawatan rasminya, beliau mengadakan tinjauan mesra dengan Presiden Dewan Perdagangan Asing Bosnia dan Herzegovina Nemanja Vasić ke Karnival Halal Usahawan Malaysia (MEHC) 2019 di Sarajevo untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang dipamerkan pada pameran tersebut.

Beliau turut menyampaikan ceramah keusahawanan bertajuk ‘Prospek mengenai Pasaran Halal dan Keusahawanan’ di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan University of Sarajevo dan dihadiri seramai 53 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Topik yang dibincangkan termasuklah keperluan untuk mewujudkan sistem pensijilan Halal yang disatukan, cadangan untuk membentuk sebuah institut bersama bagi meningkatkan inovasi dan program pertukaran pelajar, serta keperluan untuk memacu industri pelancongan bagi mewujudkan lebih banyak industri sampingan.

Mohd Redzuan turut menemui 34 peserta pameran Malaysia di MEHC 2019, dan beliau mencadangkan syarikat itu meningkatkan rangkaian perniagaan mereka dan mengeksport secara pukal untuk mengurangkan kos logistik.

Beliau mengumumkan MEHC 2019, yang berlangsung pada 18-20 April, mencapai jualan sebanyak RM1.1 juta, dengan potensi jualan berjumlah RM25 juta.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]