Berita

TM ONE perkukuh kepakaran teknologi sektor minyak dan gas



Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- TM ONE, cabang penyelesaian perniagaan sektor perusahaan dan awam Telekom Malaysia Bhd (TM) akan memperkukuh kepakaran teknologinya dalam industri minyak dan gas (O&G) bagi memastikan daya saing dan perbezaannya di pasaran.

Pengarah Vertikal Minyak dan Gas TM ONE Ahmad Salman Othman berkata syarikat itu memberi tumpuan untuk melengkapkan industri tersebut menerusi lima bidang tumpuan iaitu keberkesanan operasi, kerjasama digital, infrastruktur berprestasi tinggi, pengalaman pelanggan, serta kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

"Kami perlu meneroka secara mendalam dan memahami perniagaan ini dari segi operasi sebenar dan bagaimana inisiatif digital boleh membantu semua segmen sektor O&G sama ada di peringkat huluan, pertengahan atau hiliran,” katanya ketika ditemubual Bernama, baru-baru ini.

Sektor O&G merupakan satu daripada tujuh bidang tumpuan TM ONE, selain perkhidmatan perbankan dan kewangan, pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan perkongsian awam, pertahanan dan sekuriti, serta hartanah. 

Pelanggan utama sektor O&G TM ONE kebanyakannya terdiri daripada syarikat O&G yang beroperasi di Malaysia dan terlibat dalam projek kesalinghubungan, pengurusan data, tenaga kerja yang berhubung, rangkaian berkelajuan tinggi luar pesisir pantai dan radar pengawasan sekuriti.

Ahmad Salman berkata hasrat Kumpulan TM dan TM ONE untuk menyokong dan melengkapkan industri O&G di Malaysia, bukan sahaja menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan domain kesalinghubungan, malah turut melibatkan kecemerlangan operasi.

Beliau berkata TM ONE ditubuhkan untuk memberi tumpuan dan menyokong pelanggan B2B menerusi perkhidmatan dan penyelesaian yang ditawarkan melangkaui domain kesalinghubungan sedia ada.

“Kami berhasrat memudahkan perniagaan ini bagi memastikan industri O&G akan melangkah ke tahap baharu, selain berhasrat mengeksport teknologi kami ke luar Malaysia,” katanya.

TM merupakan ahli Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia 

“Strategi kami adalah bagaimana untuk lebih banyak terlibat dan memberi sokongan terhadap industri ini. Mehamami industri ini serta cabarannya, dan bagaimana TM boleh memainkan peranan utama memandangkan industri O&G memilih rakan kongsi digital bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab serantau industri ini di Asia,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif Jualan Perusahaan TM ONE, Wan Ahmad Kamal Wan Halim berkata buat masa ini TM ONE menyediakan sepasukan 20 pekerja berdedikasi dalam sektor jualan O&G, rundingan pra jualan, pakar industri, pembangunan perniagaan serta sokongan selepas jualan.

Beliau berkata syarikat itu telah banyak melabur untuk mendapat kepakaran dan sumber dalam industri O&G untuk memastikan cadangan nilai TM ONE, selain meningkatkan dan mempercepat penyertaan pelanggan.

“Kami telah menempatkan kumpulan ini bersama-sama sejak dua tahun lepas dan sudah tentu, keseluruhan rantaian nilai akan berkembang selari dengan transformasi digital yang menguasai industri ini di peringkat tempatan dan global,” katanya.

Wan Ahmad Kamal berkata pendigitalan telah menjadi pengubah di pasaran, sekali gus menukar cara syarikat mengurus dan mengubah perniagaan mereka.

“Disebabkan itu, bagi kami, kami perlu memastikan memiliki kepakaran yang tepat dan DNA untuk memastikan sentiasa relevan kepada pelanggan dalam menyelesaikan keperluan semasa dan akan datang pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]