Berita

Arab Saudi, Ethiopia pasaran baharu berpotensi bagi minyak sawit - Kok



JEMPOL, 20 April (Bernama) -- Arab Saudi dan Ethiopia dilihat sebagai pasaran baharu yang berpotensi untuk eksport  minyak sawit Malaysia, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata usaha mempromosi minyak sawit Malaysia di kedua-dua negara terbabit akan bermula apabila timbalannya, Datuk Seri Iskandar Mohd Akin mengadakan lawatan di negara berkenaan pada minggu hadapan.

"Dua negara itu adalah antara sasaran awal kerajaan dalam usaha meneroka pasaran baharu sebagai langkah jangka panjang memasarkan komoditi negara itu.

"Minggu depan, timbalan menteri akan menghadiri seminar minyak sawit di Arab Saudi sebelum melawat Ethiopia. Semua ini adalah pasaran baharu dan beliau juga akan berusaha mempromosi minyak sawit negara ke kedua-dua negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pertandingan Memasak dengan minyak kelapa sawit (LMPOCC) bersempena kempen Sayangi Minyak Sawitku Malaysia 2019, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Pengerusi Havys Oil Mill Sdn Bhd, Datuk Lim Kin Eng.

Mengulas lanjut, Kok berkata usaha mempergiatkan promosi minyak sawit negara juga akan dibantu oleh kementerian lain apabila menerima undangan lawatan rasmi di luar negara.

"Menteri Pertahanan  Mohamad Sabu sebelum ini memberitahu bahawa beliau juga akan membantu menarik minat Russia dan Iran untuk membeli minyak sawit negara apabila menghadiri mesyuarat berkaitan pertahanan di kedua-dua negara berkenaan.

"Ini juga adalah pasaran baharu untuk Malaysia, dan saya yakin ia akan menyumbang kepada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke negara luar," katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China, Kok berkata langkah itu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport komoditi tempatan.

"Pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan kementerian saya juga akan mengadakan pelbagai program dan pelaburan supaya boleh tarik lebih banyak syarikat dari China untuk datang melabur di Malaysia serta membeli minyak sawit negara ke pasaran mereka," katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]