Berita

HSS Engineers sasar peluang luas di rantau ASEAN



KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineers Bhd menyasarkan peluang luas di rantau ASEAN khususnya Indonesia dan Filipina, selain di India.

Dalam kenyataan hari ini, HSS Engineers berkata tumpuan yang semakin banyak diberikan kepada rantau ASEAN adalah mengambil kira pelaburan awam ketara dalam infrastruktur berskala besar, projek sektor swasta dan keseluruhan pembangunan ekonomi.

“Selain itu, syarikat juga berhasrat meneroka ke dalam kontrak pendapatan berulang dan berasaskan jangka panjang, dengan tumpuan kepada sektor tenaga, iaitu sumber tenaga boleh diperbaharu seperti solar, biogas dan biojisim.

“Ini merupakan sokongan kepada sasaran yang ditetapkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk meningkatkan tahap tenaga boleh diperbaharu negara kepada 20 peratus menjelang 2030, daripada dua peratus pada masa ini,” menurut firma itu.

Sejajar dengan usaha berkenaan, HSS Engineers hari ini mencadangkan semakan semula penggunaan baki daripada RM24.0 juta hasil Tawaran Awam Awal, yang sebelum ini dikhususkan untuk pengembangan operasi ke India supaya kini turut merangkumi rantau ASEAN, dan semakan kepada RM6.0 juta daripada RM5.0 juta sebelum ini.

“Selain itu, HSS Engineers juga mencadangkan RM12.0 juta daripada hasil IPO itu diperuntukkan semula daripada pelaburan kepada pengurusan kemudahan dan Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) untuk meneroka kontrak pendapatan berulang dan berjangka panjang, dengan menumpukan sektor tenaga,” menurut syarikat tersebut.

Naib Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Ir. Kunasingam V Sittampalam berkata HSS Engineers merancang untuk memanfaatkan kepakaran perundingan kejuruteraannya bagi menyertai sektor berkenaan.

“Syarikat ini telah mengorak laluan di Indonesia dengan penyiapan tiga projek PT Adaro Energy Tbk sebelum ini, dan kini meninjau peluang seterusnya di negara itu selain terlibat aktif dalam membida tender projek infrastruktur di Filipina bagi menjalankan kerja yang sama,” katanya.

Ketika HSS Engineers menyaksikan permintaan meningkat terhadap tenaga boleh diperbaharu di Malaysia, namun tahap buat masa ini masih jauh daripada sasaran kerajaan.

“Kami mahu menyertai industri tenaga boleh diperbaharu menerusi sasaran kontrak berasaskan jangka panjang, yang akan dapat menyediakan asas perolehan kukuh kepada syarikat,” katanya.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]