Berita

Tarif elektrik: Tiba masa kaji semula tarif elektrik bagi masa depan yang mampan?



Oleh Yong Soo Heong

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Beberapa perbincangan telah diketengahkan dalam media sejak kebelakangan ini mengenai tarif elektrik dan bagaimana pergerakan harga arang batu dan gas di pasaran antarabangsa yang merosot dalam beberapa bulan ini perlu dilihat melalui tarif yang lebih rendah. 

Pelbagai pertubuhan, yang mewakili pengguna domestik dan bukan domestik, berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk mengkaji semula tarif dan mekanisme yang mengawal selia tarif. 

Dalam tempoh pengawalseliaan kedua (RP2) selama tiga tahun antara 2018 dan 2020, harga untuk arang batu ditetapkan pada US$75 satu tan. Sejak surcaj ditetapkan pada awal tahun lepas, harga arang batu naik setinggi US$97.8 satu tan pada satu masa sebelum susut di bawah US$90 satu tan dari pertengahan 2018. 

Kebiasaannya pelarasan dibuat setiap enam bulan untuk mencerminkan harga bahan api sebenar, wujud kemungkinan surcaj yang lebih rendah dapat dilaksanakan melalui Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) yang akan datang bagi tempoh Julai-Disember 2019. 

Mekanisme ICPT telah diterima pakai oleh banyak negara lain untuk mengekalkan kestabilan dalam pasaran domestik dan melindungi mereka daripada ketidaktentuan di peringkat antarabangsa, justeru Malaysia tidak bersendirian dalam perkara ini. 

Melalui rangka kerja IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) di bawah Suruhanjaya Tenaga, kerajaan menetapkan tarif untuk tempoh tiga tahun pada masa (dikenali sebagai tempoh pengawalseliaan) untuk memastikan kestabilan pasaran. Susulan bahan api membentuk sebahagian besar tarif, turun naik dalam pasaran antarabangsa perlu diambil kira dalam tarif. 

Kerajaan mengkaji semula harga bahan api sebenar setiap enam bulan dan membuat pelarasan yang diperlukan untuk mencerminkannya dalam mekanisme ICPT. Dalam kebanyakan kes, penggunaan mekanisme ICPT, kata pemerhati industri, merupakan langkah pertama ke arah liberalisasi pasaran utiliti. 

Perubahan dalam harga bahan api dicerminkan sebagai rebat atau surcaj, bergantung kepada penurunan atau peningkatan harga bahan api berbanding harga bahan api yang ditetapkan oleh kerajaan, yang diberikan kepada pengguna. 

Pemerhati industri tenaga menyatakan mekanisme ICPT bertujuan untuk adil dan telus serta sejajar dengan piawaian global dan mematuhi rangka kerja IBR yang telah dipersetujui. Sejak Mac 2015, pengguna di Malaysia telah menikmati rebat lebih daripada RM6.3 bilion sehingga pertengahan tahun lepas.

Berdasarkan senario semasa, pakar tenaga berpendapat mungkin masa yang baik untuk mengkaji semula seluruh proses penetapan tarif. Tarif melalui rangka kerja IBR telah dan terus mengekalkan kepentingan rakyat atau rakyat diambil kira, memandangkan tarif untuk pelanggan domestik atau kediaman telah dihadkan dan surcaj diberi subsidi oleh kerajaan. 

Pada masa ini, Malaysia menikmati antara tarif elektrik terendah di dunia. Kebanyakannya disebabkan kerajaan menyediakan subsidi bagi gas asli. 

Walaupun mengurangkan beban kos ke atas rakyat, subsidi juga boleh memberi impak negatif kepada ekonomi dalam jangka masa panjang berikutan wang yang boleh digunakan untuk kemudahan awam lain digunakan untuk mengekalkan harga gas asli pada paras rendah. 

Penyelidikan turut menunjukkan elektrik merupakan pemacu yang amat kecil kepada kos sara hidup berikutan ia hanya membentuk 2.7 peratus daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna. Ini bermakna kenaikan harga elektrik yang kecil akan memberi impak yang tidak ketara terhadap seluruh kos perniagaan dan kos sara hidup.  

Oleh itu, mungkin masa yang tepat untuk mempunyai pandangan yang jauh dan pandangan alternatif yang mengambil kira kemampanan jangka panjang untuk masa depan ekonomi negara. Ini merupakan sesuatu yang rakyat Malaysia perlu menilai secara serius apabila berfikir mengenai kedudukan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang. 

Di samping itu, penting juga bagi mereka untuk mengambil perhatian bahawa subsidi elektrik tidak akan kekal selama-lamanya dan mekanisme yang lebih cekap perlu dilaksanakan. Ini antara sebab kerajaan mempunyai pelan rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan peruntukan subsidi bagi membolehkan perbelanjaan yang cekap ke atas program pembangunan. 

Dengan perubahan iklim dan peningkatan suhu yang menjadi amat ketara dalam beberapa bulan ini, mungkin tiba masanya untuk rakyat Malaysia mengawal dan mengguna pakai lebih banyak amalan cekap tenaga untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan bil utiliti yang tinggi. 

Sebagai permulaan, langkah penting untuk tindakan ialah cadangan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin, yang menyarankan bangunan kerajaan menjadi cekap tenaga supaya penjimatan sebanyak RM47 bilion menjelang 2030 dapat dicapai.

— BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]