KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menilai tapak pelupusan sampah sedia ada yang sesuai untuk dibangunkan sebagai loji 'waste to energy' (WTE) atau loji sisa kepada tenaga.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata semakan dibuat berdasarkan keluasan kawasan tapak pelupusan sampah berkenaan untuk pembinaan loji WTE yang dijangka diwujudkan dalam tempoh dua tahun lagi.
“Penggunaan pusat pelupusan perlukan belanja yang sangat tinggi dengan kos tanah yang menjadi salah satu faktor yang membebankan manakala WTE lebih bersih, produktif dan menjimatkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin tahu hala tuju KPKT berkenaan sistem pelupusan sampah di negara ini.
Zuraida berkata peralihan kepada WTE juga mampu menjana pendapatan kepada negara melalui penghasilan tenaga boleh baharu.
Sementara itu, dalam sesi soal jawab lisan, Zuraida berkata KPKT berhasrat memusatkan kerja-kerja pemprosesan plastik import bagi memudahkan pemantauan terhadap syarikat yang terlibat.
Beliau berkata ia bagi membanteras pengoperasian sisa plastik import daripada kilang haram yang menjejaskan alam sekitar.
“Kerajaan-kerajaan negeri harus memusatkan kesemuanya dalam kawasan sisa yang dikenal pasti dan sekiranya ia berada di luar daripada kawasan yang ditetapkan, ia dianggap sebagai kilang haram,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk mengharamkan pengimportan sisa plastik dari luar negara.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan di pintu masuk Malaysia melalui kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengetatkan pemeriksaan dagangan sisa plastik yang dibawa masuk.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]