Berita

Yutaka Shoji Jepun yakin dengan MSM Malaysia



KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Firma pembrokeran terkemuka Jepun, Yutaka Shoji yakin dengan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dan melabur lebih RM13 juta untuk memperluas operasinya di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Yutaka Shoji Malaysia, Tsuyoshi Morita berkata iklim perniagaan terbuka Malaysia dan hubungan dua hala yang erat dengan Jepun menjadi faktor penggerak terhadap keputusan pelaburan Shoji Yutaka.

“Pasaran MSM di Malaysia mempunyai potensi luas dan belum diterokai sepenuhnya. Kami melihat syarikat ini mengambil peranan dalam memajukan pasaran ini kerana kami mempunyai kemahiran diperlukan dalam dagangan niaga hadapan komoditi untuk menawarkan kestabilan harga kepada pembeli tempatan dan global,” katanya.

Morita berkata Yutaka Shoji ketika ini adalah satu-satunya firma pembrokeran niaga hadapan dari Jepun yang mempunyai operasi di Malaysia dan menghubungkan pengeluar tempatan kepada pembeli Jepun selain membuka pasaran kepada kedua-dua kumpulan pihak berkepentingan.

Yutaka Shoji baru-baru ini mengembangkan operasinya di Malaysia, setelah berjaya didaftarkan sebagai syarikat pembrokeran derivatif berlesen dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Februari 2019.

Tumpuan utamanya adalah perdagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah, membawa kepakaran cemerlang dalam menawarkan kestabilan harga dan strategi pasaran kepada pembeli.

"Kami menjangkakan permintaan daripada pembeli Jepun merangkumi sehingga 50 peratus daripada perniagaan awal kami, memandangkan keperluan Jepun untuk MSM adalah sebahagian dasar tenaga  boleh diperbaharu.

“Kami juga menyasarkan peserta runcit tempatan yang ingin membuka akaun dagangan untuk mendapat manfaat daripada risiko apabila para pengeluar dan pembeli yang mahu mengurangkannya, pada masa sama memanfaatkan peluang arbitraj, yang akan membentuk 50 peratus lagi sasaran kami," katanya.

"Asia adalah nadi perdagangan komoditi. Kami telah mempunyai operasi di Singapura selama hampir 30 tahun, mengkhususkan dalam dagangan niaga hadapan getah dan sudah tiba masanya untuk Yutaka Shoji datang ke Malaysia dengan tumpuan khusus terhadap niaga hadapan MSM kerana pasaran tersebut mempunyai prospek pertumbuhan kukuh,” katanya.

Beliau berkata minat dalam kalangan firma Jepun bagi potensi produk MSM untuk penjanaan tenaga semakin meningkat.

Memandangkan kenaikan harga petroleum, serta sifat tidak boleh diperbaharu komoditi itu, beliau berkata MSM dijangka menjadi sumber tenaga boleh diperbaharu utama seterusnya.

Selepas tragedi nuklear Fukushima pada 2011, kerajaan Jepun meluluskan pelan tenaga strategik bagi industri di Jepun untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharu, sebagai langkah ke arah piawaian mesra alam sekitar yang dipertingkat.

Majlis perasmian Yutaka Shoji Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini turut dihadiri Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim dan Duta Besar Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Yutaka Shoji disenaraikan di Bursa Sekuriti JASDAQ dan mempunyai pengalaman melebihi 62 tahun dalam niaga hadapan komoditi. Ia juga merupakan anggota berdaftar di Bursa Komoditi Tokyo, Bursa Komoditi Osaka Dojima, Bursa Kewangan Tokyo dan Bursa Singapura.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]