Berita

Sabah Energy Corp lancar kemudahan LNG mikro pertama negara



KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama) -- Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri, mencapai kejayaan hari ini dengan pelancaran rasmi kemudahan gas asli cecair (LNG) mikronya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.

Kemudahan LNG mikro pertama di Malaysia ini dibina dan dibangunkan untuk memenuhi keperluan tenaga daripada industri, perusahaan dan pengguna komersial seperti kilang penapisan sawit, hotel dan pusat peranginan serta pusat beli-belah di seluruh Sabah.

Kemudahan itu, iaitu 60 peratus dimiliki oleh SEC, dibina dengan kerjasama Zhangjiagang Furui Special Equipment Company Ltd, syarikat multinasional dari China.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada SEC dan anak syarikatnya, SEC Gas Sdn Bhd, kerana mengambil langkah berani untuk membina kemudahan LNG mikro pertama di negara ini.

Katanya beliau yakin kemudahan LNG mikro itu, yang mempunyai kapasiti harian sebanyak 35 tan metrik, akan membantu meningkatkan sektor perindustrian dan ekonomi negeri dengan membekalkan kemudahan gas kepada perusahaan kecil dan sederhana di Sabah, terutamanya di pantai timur, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

"Usaha ini sejajar dengan dasar kerajaan negeri untuk membangunkan Sabah. Walaupun ia adalah projek kemudahan LNG mikro, saya yakin pengeluaran dapat ditingkatkan, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan sektor perindustrian negeri," katanya.

Mohd Shafie berkata Sabah mempunyai banyak sumber yang boleh digunakan untuk pembangunan perindustrian, termasuk minyak dan gas, minyak sawit dan kayu, serta pelancongan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri akan mengenal pasti sumber dan bahan mentah lain Sabah untuk mempelbagaikan ekonomi dan memastikan pembangunan perindustrian yang mampan. Ini akan memastikan pendapatan negeri tidak sepenuhnya bergantung kepada sektor perkayuan dan perladangan.

"Kami akan memperkenalkan faktor yang boleh mengubah ekonomi tidak lama lagi dari segi penggunaan tanah dengan memastikan tanah di Sabah bukan hanya untuk kelapa sawit atau getah tetapi juga sayur-sayuran dan buah-buahan bagi pengeluaran terminal makanan. Keningau dan Tawau merupakan antara lokasi yang mempunyai potensi tinggi untuk sektor terminal makanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Harun Ismail berkata dengan selesainya fasa ketiga projek pengedaran gas aslinya, syarikat kini dapat membekalkan gas asli yang lebih bersih dan lebih murah kepada spektrum industri yang lebih luas melalui kemudahan LNG mikro itu dengan harga kompetitif. Ini akan membawa kepada penjimatan kos dan sekali gus mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan di Sabah.

Beliau berkata sebanyak 99 peratus daripada jurutera dan juruteknik yang bekerja di kemudahan LNG mikro adalah rakyat Sabah.

SEC Gas telah menandatangani perjanjian jual beli LNG dengan lima kilang penapisan sawit di pantai timur negeri ini. Pelanggan baharu terdapat di Sandakan, Lahad Datu dan Kunak, dengan penghantaran pertama dibuat ke Lahad Datu pada 16 Mac.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]