KOTA BHARU, 12 Mac (Bernama) -- Program Dapur Hijau yang dilaksanakan di Kelantan sejak 2015 telah berjaya menyemarakkan budaya bercucuk tanam di kalangan kaum wanita di negeri ini dengan menggunakan ruang yang terhad sekitar kawasan rumah menerusi teknik pertanian yang betul.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata program Dapur Hijau mula menampakan kejayaan apabila lebih 1,800 ibu tunggal dan suri rumah di seluruh negeri memohon untuk menyertai program itu.
Beliau berkata menerusi program yang dilaksanakan oleh anak Biotech Corporation Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri, para peserta diberikan Kit Dapur Hijau terdiri daripada baja kompos organik, larutan BioHijja (EM), larutan BioFruit, benih sayur-sayuran, pokok limau, beg Poli Hitam dan risalah Dapur Hijau.
Bercakap kepada Bernama ketika meninjau tanaman yang diusahakan oleh Che Rahmah Abdul Rahman di Kampung Keling di sini. Tuan Mohd Saripudin berkata ia sebahagian usaha kerajaan negeri dalam mencari mekanisme yang tepat bagi mengurangkan impak beban kenaikan kos sara hidup terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Che Rahmah, 60, berkata beliau menanam cili padi, terung, kacang botol, kangkung, timun panjang dan semua yang ditanam itu adalah daripada kit tanaman yang diberikan melalui projek Kebun Hijau.
Tinjauan mendapati hampir tiada kawasan di tapak rumahnya yang tidak dipenuhi dengan pohon hijau serta herba, malahan kawasan bertebing di sekitar rumahnya turut dibersihkan dan dibuat teres untuk membolehkan kawasan itu ditanam dengan pelbagai sayuran.
Che Rahmah merupakan pemenang Kebun Hijau peringkat negeri baru-baru ini.
“Saya bercucuk tanam bukan untuk mencari untung tetapi lebih untuk mendekati alam di samping berkongsi hasil bersama jiran sekampung. Kalau ada yang berhasrat untuk makan sayur terung, kacang botol, mentimun malah cili padi yang ada dikebun saya, mereka boleh petik sendiri,” katanya.
Sementara itu Meriam Mohd Sidik, 56, dari Kg Nilam Baru, pula berkata beliau menanam terung, mentimun, cili api, labu air, kangkung dan sawi di sekitar kawasan rumahnya.
Beliau berkata minat bercucuk tanam bermula sejak di bangku sekolah dan diteruskan sehingga kini menerusi program Dapur Hijau dan hasilnya beliau muncul sebagai naib johan Kebun Hijau bagi Parlimen Kubang Kerian.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]